Dasar Luar Malaysia : Nota Sejarah SPM (1)

Dasar Luar Malaysia : Nota Sejarah SPM  (1)

1.  Pengenalan

Maksud Dasar Luar

Dasar luar negara bermaksud dasar kerajaan terhadap negara-negara lain. Dasar luar dapat didefinisikan sebagai matlamat, rancangan dan tindakan yang dijalankan oleh sesebuah negara dalam usaha untuk berhubung dengan sesebuah negara yang lain. Urusan dasar luar negara dibawah kuasa Wisma Putra

Matlamat dasar Luar Malaysia / Kepentingan

Malaysia mempunyai dasar luar yang tersendiri iaitu berbaik-baik dengan semua negara. Antara matlamat dasar luar Malaysia ialah menjamin keselamatan rakyat dan negara, memelihara kepentingan nasional dan mengekalkan kedaulatan negara.

Selain itu ia juga menggalakkan pembangunan dan kemajuan ekonomi serta mengekalkan keamanan melalui kerjasama antarabangsa. Selain itu dasar luar negara juga adalah untuk menjadi warga global yang bertanggungjawab dan peka terhadap usaha memupuk kesejahteraan dunia.

Bentuk Dasar Luar Malaysia / Bentuk Hubungan Luar

(i)  Hubungan Bilateral

Bilateral merujuk kepada hubungan secara terus dengan negara tertentu, sebagai contoh hubungan Malaysia dengan negara jiran seperti Indonesia. Hubungan luar juga diadakan dengan negara Asia yang lain, Amerika Latin,

Afrika serta negara maju seperti Britain.


(ii) Hubungan Multilateral

Hubungan multilateral ialah hubungan dalam bentuk kumpulan dan pertubuhan seperti ASEAN,Komanwel ,OIC dan sebagainya.





2. Asas/Faktor-faktor penggubalan dasar luar Malaysia


Faktor Sejarah

Sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka telah terjalin hubungan dengan negara luar seperti China, Arab, Siam dan Kepulauan Melayu .Hubungan luar ini dalam bentuk hubungan perdagangan .Pada masa ini telah terjalin hubungan Melayuserumpun di Kepulauan Melayu termasuklah Indonesia, Brunei, Singapura dan Malaysia. Selepas merdeka, Malaysia menyertai pertubuhan Komanwel seperti Australia dan New Zealand dan meneruskan hubungan diplomatik dengan Britain, Australia dan New Zealand. Pada masa Malaysia diancam oleh fahaman komunis (PKM) yang menggugat keselamatan negara mendorong Malaysia mengamalkan dasar luar yang pro-Barat dan antikomunis. Malaysia juga perlu bergantung kepada negara Barat kerana belum mampu dari segi pertahanan.


Faktor Ekonomi

Malaysia mengamalkan ekonomi pasaran bebas dan dengan itu berbaik-baik dengan negara-negara lain untuk memajukan ekonomi. Pada zaman penjajah , Malaysia yang merupakan pengeluar getah dan bijih timah telah menjalin hubungan dengan Britain dan Amerika Syarikat. Setelah merdeka, Malaysia masih memerlukan pasaran dan modal dari negara-negara tersebut. Selain itu Malaysia mengambil beberapa langkah bagi menggalakkan pelaburan asing. Ini diharapkan dapat meningkatkan ekonomi negara dan menyediakan peluang pekerjaan. Selain itu menjelang tahun 1980-an, melaluiDasar Pandang ke Timur, pelaburan asing digalakkan dari negara-negara Timur iaitu Jepun dan Korea Selatan. Pada masa yang sama Malaysia juga menjalin hubungan baik dengan negara-negara sedang membangun dan negara Islam bagi meningkatkan pasaran barangan keluaran Malaysia dan mengadakan pelaburan di negara tersebut.
















Faktor politik

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, Malaysia berhak menentukan hala tuju masa depannya sendiri berdasarkan prinsip-prinsip keamanan sejagat. Dasar luar Malaysia juga menekankan pemeliharaan kedaulatan negara-negara lain. Contohnya dasar

Malaysia yang menyokong Palestin bagi mewujudkan keamanan di rantau Asia

Barat. Malaysia juga berpegang teguh pada prinsip-prinsip dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi memelihara keamanan dunia. Oleh itu Malaysia tegas dengan pendiriannya menyokong semua resolusi yang telah diambil oleh PBB bagi mencapai dan mengekalkan keamanan dunia.


Faktor Geografi

Malaysia mempunyai kedudukan yang strategik di Asia Tenggara dan bersempadan dengan negara seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Brunei. Perairannya juga menjadi laluan utama kapal-kapal perdagangan di dunia.

Dengan itu, keselamatan negara serantau akan mempengaruhi dan meninggalkan kesan terhadap keselamatan Malaysia.


Faktor Demografi

Malaysia telah menjalinkan hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara Islam sejajar dengan penduduknya yang majoriti beragama Islam. Malaysia tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Israel disebabkan dasar negara berkenaan menceroboh dan menindas peribumi Palestin. Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama diberikan kebebasan sepenuhnya untuk mengamalkan budaya hidup dan agama masing-masing. Amalan konsep perpaduan dan sikap komited terhadap hak asasi manusia menyebabkan Malaysia menentang keras Dasar Aparteid yang diamalkan di Afrika Selatan. Malaysia juga tidak mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan negara berkenaan sehinggalah undang-undang Dasar Aparteid itu dihapuskan oleh kerajaan Afrika Selatan. Oleh itu, faktor kepelbagaian kaum di negara ini amat mempengaruhi penggubalan dasar luar Malaysia.




.