NOVEL LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA : Sinopsis Bab 1 – Bab 5
Sinopsis Bab 1
Darah Pahlawan
Leftenan Adnan Wira Bangsa dimulakan dengan kisah Adnan (yang masih
kecil) bersama keluarganya. Pak Saidi berasa amat gembira kerana dikurniakan
tiga orang anak lelaki. Yang sulung bernama Adnan, yang tengah bernama
Ahmad dan yang bongsu dinamakan Amarullah. Tiga beradik itu membesar di Kampung
Sungai Ramal, Kajang, Selangor. Adnan sekeluarga memiliki darah pahlawan – moyangnya
pernah membantu Dol Said menentang Inggeris di Naning. Namun begitu Pak Saidi
tidak suka menghebahkan cerita itu kerana sentimen ‘siapa yang menentang
Inggeris adalah penderhaka’ masih kuat ketika itu. Penjajah ( British) tidak
suka kepada sesiapa yang menentang mereka. Mereka mahu menyedut keluar sebanyak
banyaknya hasil bumi daripada Tanah Melayu.
Sinopsis Bab 2
Kampung Sungai Ramal
Adnan bermimpi menjadi adiwira sebagai Hang Tuah dan dapat menyelamatkan
Kampung Sungai Ramal Dalam bersama-sama empat orang sahabatnya. Dia bermimpi
suasana di kampung menjadi kelam-kabut, api menjulang tinggi ke angkasa dan
beratus-ratus penyamun sedang menyerang penduduk kampung. Banyak penduduk
kampung yang terbunuh manakala rumah pula banyak yang terbakar. Adnan sering bermimpi
perkara yang aneh sejak kecil dan sering membayangkan dirinya sebagai Hang
Tuah. Selepas tersedar Adnan ke kebun getah membantu ayahnya, setelah solat
Zohor gilirannya pula turun ke sawah.
Sinopsis Bab 3
Harapan Seorang Ayah
Ketiga-tiga anak Pak Saidi berlari mendapatkannya selepas mendengar
deringan bunyi loceng basikalnya. Pak Saidi berasa gembira kerana kepulangannya
disambut oleh anak-anaknya yang sedang berlatih silat di halaman rumah. Adnan
melayan ayahnya dengan membawakan minuman. Selepas itu dia kembali berlatih
silat bersama-sama adiknya. Mereka gemar bermain perang olok-olok dan biasanya
Adnan yang selalu menang kerana sikapnya tidak mahu mengalah. Adnan juga
memperlihatkan sikap kepahlawanan dan tanggungjawab walau ketika membantunya mahupun
ketika bermain. Permintaan anak-anaknya tidak pernah dikecewakan. Walaupun
sudah dibuatkan keris daripada kayu, Adnan meminta ayahnya membuat senapang
kayu pula.
Sinopsis Bab 4
Dusun Durian Di Tanah Perkuburan
Adnan menemani ayahnya Pak Saidi ke dusun durian berhampiran Tanah
Perkuburan. Pak Saidi yang mewakafkan sebahagian daripada tanahnya menjadi
Tanah Perkuburan sebab itulah dusun itu bersebelahan dengan Tanah Perkuburan.
Sikap Pak Saidi yang dermawan menyebabkan orang kampung menyenanginya. Apabila
tiba musim buah-buahan, dia selalu menyedekahkan buah-buahan kepada penduduk
kampung. Pak Saidi menceritakan bahawa asal usul dia dan ibu Adnan dari
Minangkabau, Indonesia. Dia juga menceritakan bahawa dia pernah membantu Dol
Said Pahlawan Naning menentang British. Hal ini dirahsiakan supaya penduduk
kampung tidak memandang serong. Pak Said menceritakan bagaimana Dol Said
dilayan oleh British dengan baik sedangkan pengikutnya dibuang ke India. Pak
Saidi juga menceritakan bagaimana British boleh masuk dan menjajah Tanah
Melayu. Sejak itulah orang Melayu menentang penjajahan British bukan melalui
senjata tetapi melalui politik.
Sinopsis Bab 5
Harapan Seorang Ibu
Adnan dan adik-adiknya berlatih silat pada waktu siang manakala pada
waktu malam pula Adnan diajar mengaji oleh ayahnya dan ada kalanya dengan
ibunya. Adanan menyatakan hasrat untuk mulai bersekolah supaya menjadi pandai
kelak. Ibunya Milah tidak bersetuju kalau Adnan bersekolah di sekolah Inggeris
tetapi berbeza dengan pandangan Pak Saidi. Pak Saidi berpendapat belajar di
sekolah Inggeris dapat mempelajari pelbagai ilmu berbanding sekolah agama
ataupun sekolah Melayu. Milah menyatakan kebimbangan tentang pandangan orang
kampung tetapi Pak Saidi menyatakan bahawa penentangan zaman sekarang bukan lagi
menggunakan senjata tetapi berdasarkan pengetahuan yang setanding dengan orang
Inggeris. Pak Saidi menyatakan hasrat menyekolahkan anak-anaknya di sekolah
Inggeris kepada ketiga-tiga orang anaknya dan mereka menerimanya dengan senang
hati. Milah juga akhirnya akur dengan kehendak Pak Saidi.