NOVEL LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA : Sinopsis Bab 6 – Bab 10
Sinopsis Bab 6
Guru Besar Steward
Pak Saidi menghantar Adnan ke sekolah Inggeris. Walaupun ramai
penduduk kampung yang tidak mahu anaknya bersekolah Inggeris kerana kononnya
akan menjadi murtad namun Pak Saidi berfikiran sebaliknya. Dia ingin
anak-anaknya menjadi orang yang berpelajaran. Setiap pagi, sebelum pergi ke
sawah, Pak Saidi mengayuh basikal menghantar Adnan ke sekolah Inggeris di pekan
Sungai Ramal. Tengah hari dia menjemput anaknya dari sekolah. Syarat memakai
baju baharu, seluar baharu dituruti oleh Pak Saidi. Walaupun sudah bersekolah
di sekolah Inggeris, namun Pak Saidi tetapi mengajar anak-anaknya mengaji pada
waktu malam agar anak-anaknya mempunyai jati diri yang kukuh dan tidak lupa
asal usul dan berharap anak-anaknya tidak menjadi sepertinya yang miskin. Pak
Saidi menasihati anak-anaknya supaya tidak mempedulikan apa-apa yang dikatakan
oleh orang lain.
Sinopsis Bab 7
Mereka Tidak Mengerti
Penduduk kampung menjadi gempar apabila mengetahui Pak Saidi
menyekolahkan anaknya di sekolah Inggeris. Ternyata penduduk kampung tidak
bersetuju dan membantah tindakan Pak Saidi. Abu mencadangkan kepada Tuk Ketua
supaya meminta Pak Saidi tidak menghantar anaknya bersekolah di sekolah
Inggeris dan menghalau mereka sekiranya mereka masih berdegil. Namun, Tuk Ketua
menyatakan bahawa Pak Saidi dan anaknya orang baik sebaliknya anak Abu
yang tidak elok perangai dengan mencuri buah-buahan penduduk kampung. Abu
berasa marah dengan kelakuan anaknya dan anaknya Nordin menganggap Pak Saidi
yang memberitahu Tuk Ketua akan hal ini. Mereka bercadang hendak mengenakan Pak
Saidi.
Sinopsis Bab 8
Seteguh Karang
Karim bertemu Pak Saidi di warung. Selepas menyampaikan wang Ah Chong
hasil jualan getah, Karim menyatakan bahawa Abu telah menghasut Tuk Ketua
supaya mengambil tindakan terhadap Pak Saidi kerana menghantar anak belajar di
sekolah Inggeris. Pak Saidi tidak mengambil endah tindakan yang akan diambil
oleh Abu kerana dia yakin dia tidak melanggar undang-undang. Karim juga ingin
tahu apa sebabnya Pak Saidi menghantar anak bersekolah di sekolah Inggeris. Pak
Saidi menyatakan bahawa kita harus belajar dari bangsa yang berjaya supaya
anak-anak kita dapat ilmu pengetahuan yang tinggi. Walaupun dia marah
dengan British tetapi dia suka dengan ilmu yang mereka ada. Pak Saidi
menyangkal anak-anak Karim yang perempuan semuanya tidak mampu untuk Berjaya
sebaliknya di tangan merekalah nanti Negara akan lebih maju. Petang itu rumah
Pak Saidi dikunjungi oleh Tuk Ketua kampung, Lebai Pian dan Pak Karim serta
Isa. Pak Saidi menerangkan tujuan dia menyekolahkan Adnan di sekolah Inggeris.
Guru Melayu yang mengajar di sekolah itu
juga akan membantu memantau anak-anak mereka. Setelah bertukar-tukar pandangan
akhirnya mereka setuju dengan pendapat Pak Saidi walaupun tidak disenangi oleh
Lebai Pian.
Sinopsis Bab 9
Anak-Anak Kampung
Mamat menegur Adnan dan bertanya tentang keseronokan belajar di sekolah
Inggeris. Adnan menyatakan keseronokannya belajar di situ dan mengajar Mamat
beberapa perkataan bahasa Inggeris yang dipelajari. Mamat menyatakan
ayahnya melarang dia belajar di sekolah Inggeris kerana khuatir dia lupa agama.
Adnan menafikan bahawa dia lupa agama dan tidak berubah walaupun sudah belajar
di sekolah Inggeris apatah lagi malamnya dia tetap belajar mengaji dengan
ayahnya. Mereka berbual-bual dengan Ahmad dan bercerita tentang cita-cita
apabila besar nanti. Adnan yang mahu menjadi askar supaya dapat mempertahankan
Negara dari serangan musuh. Malamnya, rumah mereka didatangi oleh dua lembaga
yang tidak dikenali. Dengan keberanian Pak Saidi dan Adnan, lembaga itu lari
lintang pukang, walaupun ada seorang yang mengena belutinya. Rupa-rupanya
mereka mengerat tayar basikal milik Pak Saidi. Pak Saidi mendengar
tentang Nordin yang sakit kaki. Dia memberitahu isterinya mungkin Nordin salah
seorang lembaga yang datang pada malam tempoh hari dan dibaling beluti oleh
Adnan. Di sekolah Adnan mendapat pujian atas sikap hormat dan kerajinan serta
pendirian yang tetap menjadi askar yang dinyatakan kepada Cikgu Anderson.
Sinopsis Bab 10
Masuk Jawi Basikal Baharu
Adnan akan berkhatan. Adnan resah apatah lagi Tuk Mudim sudah sampai.
Walaupun Tuk Mudim berjenaka tetapi bagi Adnan itu bukanlah lawak. Rakan-rakan
Adnan mengintai dari luar. Adnan menjadi bersemangat apabila ayahnya berjanji
untuk membelikan basikal baharu apabila dia selesai berkhatan. Adnan
bersemangat dan tidak gentar apabila dikhatankan. Dia tersenyum selepas
dikhatankan. Kira-kira dua minggu kemudian, luka Adnan sembuh. Pada hari yang
dijanjikan ayahnya membawa pulang sebuah basikal baharu.