Showing posts with label Karangan. Show all posts
Showing posts with label Karangan. Show all posts

Sukan Bertaraf Dunia Di Malaysia

Sukan Bertaraf Dunia Di Malaysia

          Bidang sukan merupakan bidang yang amat diminati oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia. Bidang ini bukan sahaja diadakan di sekolah malah dianjurkan di peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Akhir-akhir ini, Malaysia semakin terkenal dalam menganjurkan sukan bertaraf dunia.

          Antara kejohanan sukan bertaraf dunia yang dianjurkan oleh negara kita ialah Kejohanan Lumba Kereta Formula Satu, Kejohanan Lumba Basikal Le Tour De Langkawi, Sukan Komanwel, Badminton Piala Thomas dan Kejohanan Hoki Piala Dunia. Melalui penganjuran sukan berprestej ini masyarakat dunia mengenali negara kita dan mereka akan berkunjung ke sini untuk menyaksikan pertandingan tersebut. Sebagai contoh, kejohanan Formula Satu telah mencapai kejayaan kerana sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat tempatan dan luar negara.

          Kejohanan Lumba Basikal Le Tour De Langkawi merupakan kejohanan berbasikal yang semakin mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa. Pada setiapa tahun bilangan peserta yang mengambil bahagian meningkat dan prestasi mereka amat menggalakkan. Saya berasa yakin suatu hari nanti kejohanan ini akan sama tarafnya dengan Kejohanan Lumba Basikal Le Tour De France yang bertaraf dunia.

          Kejohanan Sukan Komanwel 1998 mencatat sejarah penting dalam penganjuran sukan di Malaysia. Kejohanan sukan kedua terbesar selepas sukan olimpik telah membawa pelbagai kejayaan kepada Malaysia. Negara kita tidak pernah memenangi pingat emas yang begitu banyak sepanjang kejohanan sukan itu diadakan  tetapi apabila sukan itu diadakan di Malaysia, prestasi atlet sukan kita amat memberangsangkan.

          Memang banyak faedah yang kita peroleh apabila kita menganjurkan sukan bertaraf dunia. Di samping dapat bersaing dengan atlet bertaraf dunia, atlet negara kita dapat memperoleh pengalaman yang luas melalui penyertaan mereka dalam bidang sukan itu. Industri pelancongan negara turut berkembang kerana pelancong asing menggunakan pelbagai kemudahan semasa berada di negara kita. Perkara ini dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara. Di samping itu, imej negara kita terserlah di dunia kerana kecemerlangan kita menganjurkan sukan bertaraf dunia ini.


          Kesimpulannya, penganjuran sukan bertaraf dunia memang digalakkan di negara ini. Bidang sukan yang dianjurkan ini bukan sahaja membawa pelbagai faedah kepada atlet negara tetapi dapat mengharumkan  nama Malaysia di persada antarabangsa.

.

Langkah-langkah Mempopularkan Permainan Tradisional


Langkah-langkah Mempopularkan Permainan Tradisional



             Masyarakat Melayu mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada pelbagai keturunan. Kebudayaan ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang unik kerana hampir setiap keturunan mempunyai adat sehingga membentuk kebudayaan Melayu. Lantaran resam yang majmuk ini, maka banyak permainan tradisional yang dipertandingkan. Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Tonggak penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Keadaan ini membolehkan mereka bekerja dan berhibur pada masa yang sama. Malah sejak dari kecil lagi mereka membiasakan diri dengan keadaan yang demikian ibarat kata “alah bisa tegal biasa”. Apabila sesuatu permainan diadakan di sesebuah kampung, penduduk kampung berdekatan turut berkunjung untuk mengambil bahagian atau sekadar memberi semangat. Suasana pesta di padang permainan boleh mewujudkan interaksi sosial di antara kampung-kampung yang mengambil bahagian. Oleh hal yang demikian permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat antaranya termasuklah guli, congkak, wau, selambut, sepak raga, gasing dan lain-lain. Namun begitu,akibat daripada kemajuan dunia dalam pelbagai skop, permainan ini seolah-olah dianaktirikan begitu sahaja oleh masyarakat kita ibarat melukut ditepi gantang malah hidup segan mati tak mahu. Oleh itu, pelbagai langkah yang pragmatik perlu dilaksanakan dalam usaha menggiatkan permainan tradisional pada hari ini.

             Keluarga mendukung obligasi yang dominan dalam usaha ke arah menggiatkan permainan tradisional tanah air. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menghadiahi anak-anak dengan set-set permainan tradisional sebagai hadiah hari lahir iaitu congkak dan gasing. Melalui langkah ini, ternyata anak-anak akan berasa terhibur dan teruja selain dapat mengenali warisan nenek moyang kita. Pada waktu senggang, ibu bapa boleh membawa setiap ahli keluarga mereka bermain permianan tradisional ini agar anak-anak akan mempunyai semangat untuk bermain permainan ini memandangkan ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Bahkan, ibu bapa juga mampu menyerapkan minat terhadap permainan ini dalam kalangan anak-anak dengan menggalakkan mereka menyertai pertandingan permainan tradisional di peringkat sekolah mahupun anjuran badan-badan bebas. Hal ini dapat mencambahkan minat generasi muda untuk terus berkecimpung dalam tradisi permainan ini. Golongan pascamerdeka khususnya generasi baru sepatutnya menyanjung dan menjunjung warisan budaya kita persis peribahasa Melayu yang berbunyi biar mati anak,jangan mati adat. Oleh itu, setiap ahli keluarga terutamanya ibu bapa memikul tanggungjawab murni untuk mempopularkan permainan tradisional negara kita.

Selain itu, permainan tradisonal juga dapat digiatkan dengan adanya peranan daripada pihak sekolah. Pihak sekolah boleh memainkan peranan dengan menganjurkan kelab permainan tradisional dalam aktiviti kokurikulum. Dalam hal ini, pihak sekolah perlu memastikan kelab ini bergerak secara aktif bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Pelajar sekolah perlu diberi galakkan untuk menyertai kelab ini kerana dapat didedahkan dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang boleh menjadi salah satu hobi mereka. Sebagai contoh, permainan congkak, permainan gasing dan permainan batu seremban. Bahkan, pelajar juga dapat mendominasi teknik bermain permainan warisan ini dengan tepat dan betul. Dengan itu, mereka akan lebih menguasai permainan ini kerana mereka telah belajar dengan orang yang berpengalaman dan profesional kerana jauhari jua yang mengenal manikam. 

Pihak sekolah boleh menjemput pihak luar seperti orang perseorangan yang mahir dalam sesuatu permainan tradisonal untuk mengajar asas dan teknik permainan. Pelajar akan dibimbing secara efektif dengan pihak yang berkemahiran itu. Sebagai contoh, dalam permainan congkak, pelajar dapat mengetahui  tentang guli yang dikenali sebagai buah dan kawasan pemain dikenali sebagai rumah. Pihak sekolah juga boleh menggiatkan permainan tradisional dalam kalangan pelajar sekolah dengan menyediakan lebih banyak alatan permainan ini. Hal ini mencerminkan dengan jelas sekiranya mereka sukar mendapatkan permainan ini, minat mereka mulai pudar dan beranggapan peluang untuk mendekatkan diri dengan permainan amat nipis. Alatan permainan tradisonal juga sukar diperoleh di pasaran dan kebiasaannya amat terhad. Pelajar akan menemui kesukaran untuk membeli alatan permainan pusaka nenek moyang ini. Dengan cara membeli alatan permainan ini terus daripada kilang, kos untuk membelinya menjadi bertambah murah. Dengan itu, pihak sekolah dapat membelinya dalam kuantiti borong yang banyak. Dengan adanya pelbagai permainan tradisional yang dibekalkan oleh pihak sekolah, pelajar akan berminat  untuk bermain permainan ini. Bukan sahaja pelajar yang menyertai kelab ini, bahkan semua pelajar boleh mencuba untuk bermain permainan tradisional ini. Masalah seperti kekurangan peralatan untuk bermain tidak akan timbul lagi. 

Pihak sekolah juga boleh menjadi pendukung utama dalam mempopularkan permainan tradisonal dalam kalangan pelajar sekolah dengan menyediakan tempat-tempat permainan ini. Hal ini akan memudahkan mereka untuk bermain dalam suasana yang selesa dan kondusif. Mereka menyediakan padang untuk bermain gasing dan kawasan yang luas untuk bermain wau. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk menggiatkan permainan dalam kalangan masyarakat dapat dilaksanakan dengan adanya peranan pihak sekolah dalam memikul obligasi tersebut kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Dalam fasa itu, masyarakat memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam menjayakan usaha ini. Pihak masyarakat wajar memberikan sokongan terhadap permainan tradisional dengan menubuhkan kelab permainan tradisonal di tempat tinggal. Dengan wujudnya kelab-kelab seperti ini seperti kelab sepak raga, kelab congkak dan kelab wau, usaha untuk membaja kembali permainan ini akan menjadi lebih mapan. Hal ini demikian kerana dengan adanya kelompok besar masyarakat yang memperjuangkan warisan ini, permainan tradisional tidak akan lapuk dek hujan,tidak akan lekang dek panas. Hal ini berbeza sekiranya perjuangan mempertahankan permainan hanya mengharapkan sebilangan kecil rakyat Malaysia kerana sebatang lidi amat mudah dipatah-patahkan berbanding seberkas lidi. Pastinya, dengan penglibatan bilangan komuniti yang ramai, usaha untuk mempopularkan permainan nenek moyang ini tidak akan menjadi sekadar hangat-hangat tahi ayam. Tambahan lagi, masyarakat perlu berusaha untuk mewujudkan tapak permainan tradisional di kawasan perumahan mereka. Hal ini dapat menarik perhatian penduduk sekitar beriadah sambil memainkan permainan ini. Pelbagai pertandingan berkisarkan permainan tradisional dapat dianjurkan di tapak itu bagi mengelakkan permainan ini daripada terus berkubur begitu sahaja tanpa mendapat sebarang pembelaan. Oleh hal yang demikian, pihak masyarakat perlu berganding bahu dalam mengetengahkan permainan tradisional agar permainan ini akan terus utuh berdiri dalam arus perdana.

Langkah yang paling afdal bagi memajukan permainan tradisional ialahkerajaan hendaklah mengadakan lebih banyak lagi kempen dan promosiyang progresif menerusi media massa serta media cetak bagi mendedahkan masyarakat tentang peri pentingnya kita menjaga warisan nenek moyang kita iaitu permainan tradisional yang sudah lama wujud di negara kita ini. Kita acap kali diperdengarkan mengenai peribahasa yang berbunyi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Janganlah kita merindui permainan tradisional selepas permainan ini pupus ditelan zaman. Dengan itu, Kementerian Warisan dan Kebudayaan telah mengambil langkah bagi mempopularkannya dengan mengadakan kempen seperti kempen “Jom Main Permainan Tradisional” dan pertandingan ‘Festival Layang –Layang Antarabangsa’ yang merupakan rencah maslahat untuk memajukannya. Langkah tersebut penting supaya ahli masyarakat tidak kira dari dalam negara mahupun  luar negara mendapat pendedahan dan mempelajari permainan tradisional sepanjang kempen dan pertandingan dijalankan kerana tak kenal, maka tak cinta. Bukan itu sahaja, kerajaan juga boleh menetapkan satu bulan sebagai ‘Bulan Permainan tradisional’. Oleh hal yang demikian, dengan adanya langkah proaktif tersebut, kita dapat memastikan permainan tradisional mampu menjadi warisan budaya untuk generasi yang akan datang.

            Minat yang mendalam terhadap permainan tradisional seperti wau, layang-layang, sepak raga, gasing dan sebagainya tidak mencukupi sekiranya tiada kemudahan untuk memainkannya. Bagi menangani isu ini, kerajaan haruslah menyediakan lebih banyak tempat atau gelanggang permainan tradisional untuk memudahkan rakyat bermain permainan ini. Pembinaannya pula hendaklah di tempat-tempat yang strategik seperti di sekitar taman perumahan supaya setiap lapisan masyaarkat lebih-lebih lagi golongan belia dapat menghabiskan waktu senggang mereka dengan bermain permainan tradisional. Selain itu, jurulatih yang terlatih juga patut disediakan di setiap gelanggang bagi mendidik para pemain tentang cara-cara sebenar untuk memainkannya. Gandingan kedua-dua ini dapat menambahkan bilangan peminat permainan tradisional di seluruh negara sekali gus mempopularkannya di mata dunia. Sekolah juga memainkan peranan penting dalam memajukan permainan tradisional ini. Oleh itu, kerajaan boleh menetapkan pemainan tradisional sebagai salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah. Kelab Permainan Tradisional juga boleh ditubuhkan serta pihak sekolah boleh menjadikan permainan tradisional sebagai salah satu acara dalam sukan. Kerjasama yang erat antara kaum ibarat aur dengan tebing dalam permainan ini  dapat meningkatkan perpaduan dan merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama lain sekali gus visi kudsi 1 Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perpaduan dapat digarap sepenuhnya. Hal ini sesuai dengan pepatah yang berbunyi, “ ada padi semua jadi, ada beras semua deras”.

            Secara tuntas, pelbagai pihak memainkan peranan yang sepada dalam usaha mempopularkan permainan tradisional. Oleh itu, mereka perlulah mengambi langkah yang vital, imperatif, kritis dan pragmatik supaya dapat memanifestasikan generasi pelapis negara yang tidak akan lupa akan warisan mereka ibarat kacang lupakan kulit. Generasi pada hari ini perlu digarap agar menghargai dan menjunjungi pusaka warisan mereka sejak dari rebung lagi. Barulah warisan permainan tradisional akan terus hidup subur dalam kehidupan masyarakat kita. Generasi muda perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan warisan ini tidak hanyut ditelan zaman. Sekarang tibalah waktunya anak-anak remaja yang merupakan generasi penggerak wawasan menimba sebanyak ilmu pengetahuan agar dapat digunakan dalam usaha memelihara permainan tradisional ini pada masa akan datang. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu bagai lebah menghimpun madu, agar impian ini tidak akan dipersia-siakan begitu sahaja dan terus dapat dihidupkan dari semasa ke semasa.

.

Kesan penyalahgunaan dadah dan langkah-langlah mengatasinya

Kesan penyalahgunaan dadah dan langkah-langlah mengatasinya


Kerajaan telah mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara sejak tahun 1983 lagi. Kini, setelah 30 tahun berlalu, gejala ini masih belum dapat dibendung sepenuhnya, malah semakin serius. Penyalahgunaan dadah kini merangkumi jenis dadah bukan sintetik (seperti heroin, morfin, candu dan ganja) dan jenis sintetik (seperti syabu, pil psikotropik, ecstasy dan amphetamine). Jumlah penagih dadah terkumpul yang direkodkan oleh Agensi Dadah Kebangsaan (A.D.K.) terus meningkat saban tahun.

Gejala dadah membawa pelbagai kos dan kesan buruk kepada negara. Kebanyakan penagih dadah merupakan golongan belia berumur di antara 18 hingga 40 tahun. Kumpulan muda ini merupakan tenaga penggerak yang diperlukan bagi usaha pembangunan negara. Selain itu, masalah penyalahgunaan dadah mempunyai kaitan dengan kejadian jenayah. Badan-badan bukan kerajaan yang terlibat menganggarkan kira-kira 50 peratus daripada banduan yang dipenjarakan ada hubung-kait dengan isu dadah. Gejala dadah ini juga mengenakan kos secara langsung dan tidak langsung kepada negara, seperti kos pengawasan polis, kos rawatan dan kebajikan para penagih, dan kos tambahan kepada sistem kesihatan nasional.

Kejadian penyakit h.i.v./aids juga bertambah ketara disebabkan masalah penyalahgunaan dadah. Ini berpunca daripada amalan perkongsian jarum yang berleluasa dikalangan penagih-penagih dadah. Sebanyak 51,256 kes h.i.v./aids telah dilaporkan di dalam negara semenjak tahun 1986. Lebih membimbangkan, kejadian penyakit ini telah bertambah pada kadar yang lebih tinggi dewasa ini. Pada tahun lepas, purata sebanyak 19 kes baru telah dilaporkan setiap hari, berbanding 13 kes baru pada tahun 2001. Di dalam hal ini, sebanyak 77 peratus daripada mereka yang mengidap penyakit h.i.v./aids merupakan penagih dadah. Justeru, usaha-usaha membendung gejala dadah tidak dapat dipisahkan daripada usaha-usaha untuk menangani penyakit h.i.v./aids.

Kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mengatasi gejala dadah. Kita telah membina infrastruktur yang serba lengkap, termasuk kemudahan hospital dan 28 pusat serenti di seluruh negara. Kita telah menggubal antara undang-undang anti-dadah yang paling berat di dunia. Kita juga telah mendirikan agensi- agensi kerajaan yang diberi tanggungjawab dan kuasa penuh untuk menangani masalah dadah.

Walaupun begitu, usaha-usaha kita belum membuahkan hasil yang memuaskan. Bilangan penagih dadah semakin ramai. Kini kita berhadapan dengan dadah-dadah sintetik baru yang lebih merbahaya, dan kejadian-kejadian lain seperti penyalahgunaan ubat batuk dan aktiviti menghidu glu. Dalam pada itu, usaha-usaha rawatan dan pemulihan penagih dadah tidak berjaya seperti yang diharapkan. Kadar penagih yang telah mula menagih dadah semula (iaitu "relapse rate") selepas melalui rawatan dan pemulihan begitu tinggi (dianggarkan sekitar 70 peratus oleh badan- badan N.G.O.), walaupun kita sudah mempunyai pengalaman kira-kira 30 tahun dalam usaha rawatan seperti ini.

Sebenarnya, masa telah berlalu dan cabaran-cabaran kita telah berubah. Oleh itu, kita perlu mengkaji semula cara kita menangani gejala dadah dan memperbaharui pemikiran kita di dalam hal ini. Antara lain, kita perlu menilai semula kaedah dan tindakan agensi kerajaan, penglibatan pihak-pihak N.G.O. dan bekas-bekas penagih dadah, tanggungjawab ibu bapa dan pemimpin masyarakat, tugas dan fungsi majikan dan sektor swasta, serta peranan media di dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah.

Walaupun begitu, kerajaan akan tetap bertegas dalam menguatkuasakan undang-undang negara berkaitan dadah. Pihak berkuasa negara telahpun mencapai banyak kejayaan dalam gerakan menghapuskan kegiatan pengedaran dadah. Tahun lalu, seramai 25,906 orang telah ditangkap di bawah akta-akta yang berkaitan, termasuk 2,167 orang di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (yang membawa hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan). Agensi-agensi penguatkuasa juga telah berjaya mengesan dan merampas kuantiti dadah yang tinggi sejak akhir-akhir ini. Saya ingin mengucapkan syabas kepada agensi-agensi tersebut. Usaha ini perlu diteruskan, malah dipertingkatkan lagi.

Dari segi penagihan dadah pula, kita perlu berganjak daripada fokus yang menekankan aspek jenayah/punitif bagi penagih dadah, kepada pendekatan memerangi `penyakit' penagihan dadah yang boleh dipulihkan melalui rawatan. Kita bersimpati dan berasa sedih kerana begitu ramai anak- anak muda yang telah sesat dan terjebak ke arah penyalahgunaan dadah. Penyakit ini perlu dirawat dan dihapuskan, agar generasi akan datang berupaya menjauhkan diri daripada gejala ini. Justeru, pusat-pusat rawatan dadah perlu mempertingkatkan keupayaan mereka untuk menjalankan kaunseling dan memulihkan penagih-penagih dadah dengan lebih berkesan.

Masyarakat juga perlu merubah pemikiran mereka tentang dadah. Masalah penyalahgunaan dadah adalah masalah bersama, dan bukan masalah pihak berkuasa semata- mata. Sesungguhnya, masalah dadah tidak mengenal batasan politik, agama, bangsa, sosial dan kebudayaan. Ini bermakna perjuangan memerangi dadah memerlukan penglibatan secara total. Oleh itu, semua pihak perlu berkongsi tanggungjawab dan kumpulan yang akan berusaha membasmi dadah perlu diperbesarkan. Antara lain, kita harus lebih melibatkan badan-badan bukan kerajaan dalam usaha ini, dan mempertingkatkan lagi hubungan kerjasama antara pihak berkuasa dan pelbagai badan bukan kerajaan yang terbabit.

Pemimpin-pemimpin masyarakat yang lain, termasuk ketua-ketua kampung dan para guru, akan turut bersama di dalam usaha ini. Sebenarnya, pendidikan adalah salah satu mekanisme terbaik dalam menangani masalah ini. Kalau dilihat daripada profil penagih yang dikesan, 72 peratus daripada mereka hanya mendapat pendidikan sehingga tingkatan tiga. Sekiranya kita mempertingkatkan pendidikan di kalangan anak-anak muda, baik dari segi pendidikan khusus mengenai dadah mahupun pendidikan am, kita akan dapat mengawal gejala ini dengan lebih baik.

Walaupun institusi keluarga kini menghadapi pelbagai cabaran getir akibat perubahan-perubahan ekonomi, sosial dan teknologi yang sedang melanda, namun penglibatan ibu bapa dan lain-lain ahli keluarga amat diperlukan bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah. Ibu bapa perlu memainkan peranan yang berkesan dalam memberi kasih sayang dan penjagaan kepada anak-anak mereka, agar anak-anak itu tidak terperangkap di dalam gejala dadah.

Selain aspek pencegahan, pihak keluarga juga perlu memainkan peranan dalam memulihkan ahli keluarga yang telah menjadi penagih dadah. Bekas-bekas penagih yang telah melalui rawatan haruslah diterima balik ke pangkuan keluarga masing-masing. Saya amat khuatir sekiranya perasaan prasangka terhadap para penagih menebal di kalangan ahli-ahli keluarga sendiri, maka mereka akan berasa tersisih dan akan mudah kembali kepada penyalahgunaan dadah. Kita harus sedar dan memberikan mereka harapan dan peluang untuk memulakan kehidupan baru.

Semua pihak perlu melibatkan diri dalam usaha menangani gejala dadah. Apa yang diperlukan ialah penjagaan yang berterusan dalam hal ini, atau apa yang disebut sebagai "continuum of care". Sekiranya terdapat kelemahan dalam mana-mana aspek pencegahan atau rawatan, maka akan lemahlah seluruh usaha kita untuk membendung dadah.

Konklusinya pendekatan yang strategik, menyeluruh dan bersepadu perlu diambil dalam memerangi dadah. Semua agensi, badan bukan kerajaan dan pihak-pihak yang lain haruslah bekerjasama dan menyelaras usaha-usaha mereka. Idea-idea baru perlu difikirkan untuk memberi nafas segar kepada usaha-usaha kita. Pihak kementerian dalam negeri sendiri sedang berusaha untuk melaksanakan beberapa program baru, termasuk menjadikan pusat serenti sebagai anak angkat kepada institusi pengajian tinggi (I.P.T.); menempatkan penagih (yang berada di fasa pra-pembebasan) di sektor swasta, seperti di kilang-kilang; mengadakan program khidmat masyarakat oleh penghuni pusat serenti; menerokai modul rawatan yang baru, dan lain-lain lagi. 

.

Amalan Pemakanan Sihat


Amalan Pemakanan Sihat


Makanan berkhasiat merupakan makanan yang harus dimakan untuk memastikan tubuh badan seseorang berfungsi secara normal. Makanan seimbang seharusnya memberikan kita tenaga yang mencukupi yang mengandungi karbohidrat, protein dan lemak secara optimum dan kandungan fiber yang mencukupi. Makanan yang memberi tenaga dapat membina badan dan dapat menjauhi kita daripada penyakit.

1.    Jangan tidak makan karbohidrat
Sesetengah dari kita merasakan dan mempercayai dengan mengambil karbohidrat menyebabkan mereka gemuk dan mampu mengundang pelbagai penyakit. Ini mendorong mereka bertindak untuk meninggalkan pengambilan nutrien tersebut secara total serta menggantikannya dengan kaedah diet lain yang mungkin menyebabkan berlakunya malnutrisi.

2.    Rancang apa yang hendak dimakan
Sekiranya berhasrat untuk mengambil makan malam yang lebih berat seperti stik dan kentang, kurangkan atau elakkan pengambilan makanan berdaging dan berkanji untuk waktu makan yang lain dan begitulah seterusnya. Imbang dan rancang pengambilan kategori makanan.

3.    Makan tengahari semahu anda
Mungkin anda pernah dengar sarapan pagi adalah penting dan makan dengan banyak untuk memulakan hari anda tetapi ramai diantara kita yang tidak bersedia untuk makan dalam jumlah yang banyak seawal pagi. Kebenarannya ialah waktu makan paling penting ialah waktu makan tengahari di mana sistem penghadaman kita telah bersedia sepenuhnya. Di waktu itu juga badan amat memerlukan makanan untuk berfungsi sepenuhnya seharian. Namun begitu makan semahunya bukan bermakna anda boleh makan apa sahaja dalam jumlah yang banyak tetapi perlulah dirancang dan diimbang sebaik mungkin.

4.    Makan makanan berwarna pelangi
Sayuran hijau, oren, anggur, kobis ungu, lada benggala dan pelbagai warna sayuran dan buah-buahan akan membantu memberi tubuh badan dengan pelbagai nutrien yang akan membantu melawan penyakit.

5.    Berhenti sebelum kenyang
Makan itu bukan untuk menjadi kenyang sebaliknya makan itu bertujuan memenuhi keperluan tubuh badan dengan nutrien yang membolehkan tubuh berfungsi sebaiknya. Praktis ini sememangnya amat membantu kerana ianya membolehkan sistem pencernaan berfungsi lebih optimum dan ini dapat mengelakkan dari perut kembung serta mengurangkan kadar risiko penyakit berkaitan usus dan perut.

6.    Tetapkan pola waktu makan yang seragam
Waktu makan yang tidak tetap akan menyebabkan kecenderungan untuk makan dalam kuantiti yang yang banyak.

7.    Minum segelas air suam 20 minit sebelum makan
Mampu mengurangkan jumlah makanan yang diambil serta membantu sistem penghadaman.

8.    Kurangkan pengambilan gula di dalam makanan
Pengurangan pengambilan gula membantu mengurangkan jumlah kalori di dalam pemakanan seharian. Pengambilan gula secara berlebihan dalam jangka masa panjang boleh meningkatkatkan berat badan dan menyebabkan obesiti.

9.    Menguyah makanan secara perlahan-lahan
Di dalam air liur terdapat enzim amalyse yang membantu menguraikan makanan dan seterusnya membantu sistem pencernaan. Makan dengan cepat akan menyebabkan air liur tidak dapat menguraikan makanan dengan baik.

10. Tidur secukupnya
Amalkan tidur yang secukupnya bagi mempastikan tubuh badan dapat berfungsi dengan baik termasuk sistem penghadaman.


.

Peranan Anak-Anak Untuk Meringankan Beban Kewangan Keluarga


Peranan Anak-Anak Untuk Meringankan Beban Kewangan Keluarga         

                   Semua pihak telah maklum, bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga adalah terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam, dan krisis bahan makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina amat menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun bahangnya mula dirasakan terutama sekali kepada keluarga yang berada pada garis kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500. Beban kewangan adalah antara fenomena yang teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah memahami akan susah payah ibu bapa dengan cara melakukan pelbagai prakarasa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung.

Budaya berjimat cermat ialah senjata yang paling ampuh digunakan apabila berada dalam situasi begini. Langkah tersebut amatlah pragmatik dalam menghadapi suasana darurat dalam rumah tangga. Anak-anak diharap dapat memahami keadaan berat ringan yang ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa berjimat yang perlu dilakukan hendaklah bermula dengan amalan yang mudah-mudah terlebih dahulu seperti mengawal penggunaan keperluan asas terutama elektrik dan air. Rata-rata ibu bapa merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang dengan sewenang-wenangnya mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan kipas terpasang ketika tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat cermat itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak mudah untuk dipraktikkan, namun segala-galanya adalah berpunca daripada sikap. Contoh yang paling mudah, jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di bawah daripada paras RM20 justeru penggunaan domestik tersebut adalah percuama. Inilah sebenarnya hakikat amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

Anak-anak yang baik adalah yang prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum akan kedudukan kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah menunjukkan rasa simpati terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki. Fahamilah akan beratnya tanggungan bak kata peribahasa, seberapa berat mata memandang beratlah lagi bahu yang memikul. Anak-anak seperti ini sudah pasti akan mengamalkan sikap bersederhana dalam hal makan minum, pakaian dan berbelanja sekadar yang perlu sahaja. Amatlah malang sekali apabila ada anak-anak pada era sekarang seakan-seakan tidak mempunyai sikap belas kasihan kepada ibu bapa. Mereka mudah terdorong untuk menuruti gaya hidup rakan-rakan yang lebih mewah. Mereka mendesak dan meminta-meminta sesuatu yang diluar upaya ibu bapa seperti inginkan pakaian yang berjenama dan berselera untuk makan ditempat-tempat yang eksklusif. Sepatutnya, anak-anak hendaklah mengelak daripada sebarang pengaruh dan budaya bermewah-mewah kerana resam hidup, pipit sama pipit dan enggang sesama enggang masakan dapat terbang bersama.

Walaupun bebanan kos hidup semakin meningkat, tetapi dalam sebuah negara seperti Malaysia, peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka. Peluang-peluang kerja sambilan seperti pembantu kedai dan berniaga secara kecil-kecilan mudah diperoleh di mana-mana jua. Anak-anak yang baik sudah tentu dapat menghidu peluang tersebut dengan cara melakukan kerja sambilan sewaktu lepas sekolah dan lebih-lebih lagi dalam musim cuti sekolah. Perkara yang penting ialah ketepikan perasaan malu dan malas. Sebenarnya telah banyak teladan yang dapat dikuti daripada ikon-ikon tersohor seperti Tan Seri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan Dato Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi konglomerat dengan memulakan peniagaan dari bawah. Oleh itu, langkah yang terpenting setiap anak perlulah mempunyai wawasan dan jiwa yang cekal untuk berjaya ibarat kata tokoh tersohor Sukarno, “Gantunglah cita-citamu di bintang yang tinggi sekalipun kakimu masih mencecahi perlimbahan”.

Bak kata peribahasa, daun boleh melayang jauh getah tetap mengalir ke perdu ialah peribahasa yang menerangkan bahawa, anak-anak yang baik sentiasa kembali kepada induknya. Hal demikian amatlah mustahak dijadikan pedoman oleh anak-anak yang telah menginjak usia dewasa. Mereka ini hendaklah memperlihatkan sikap membalas budi dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa. Setelah bertahun-tahun ibu bapa mendidik dan menjaga, apabila sayap sudah penuh kembalilah kepada induk untuk melihat susah payah mereka. Bantulah ibu bapa atas kadar yang terdaya. Janganlah apabila telah besar panjang, ibu bapa langsung tidak dijengah. Adik-adik yang masih kecil perlu dibantu. Malanglah sangat apabila kedapatan anak-anak yang sudah besar remaja tetapi masih bergantung kepada ibu bapa. Oleh itu, berpada-padalah dan sedarlah bahawa setiap kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan. Janganlah bersikap kacang lupakan kulit, ibarat gemuk membuang lemak, cerdik membuang saudara.

Kaya atau miskin, susah mahupun senang adalah menjadi sunnatullah. Semuanya adalah sebahagian daripada ujian Tuhan terhadap hamba-Nya agar tidak mengenal putus asa. Demi berhadapan dengan cabaran kesusahan dan beban hidup, semua orang digalakkan berusaha dengan lebih gigih. Hidup ibarat roda, hari ini di bawah mungkin esok ke atas. Prakara yang paling penting ialah keinginan untuk berusaha dan tidak berputus asa. Peribahasa menyatakan, di mana-mana ada kemahuan di situ ada jalan. Sebagai anak yang sudah besar panjang perlulah mengorak langkah untuk memikirkan sebarang kerja yang dapat meringankan beban ibu bapa. Dalam pada itu, sebagai insan yang tidak putus daripada khaliq-Nya, kita perlu berdoa, bermuhasabah dan bermunajat agar diberikan taufik dan hidayah oleh Allah sehingga terbuka jalan dan ikhtiar. Yakinlah akan firman Allah dengan mafhumnya, “Tuhanmu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubah nasib mereka sendir”i. Insya-Allah jikalau kita gigih dan tidak putus memohon petunjuk-Nya, nescaya limpah kurnia dan restu Allah akan tetap bersama-sama kita.

Kesimpulannya, ketika berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai kesan daripada krisis kewangan, setiap keluarga tidak boleh mati akal. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan penuh tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham akan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan boleh menjadi jambatan untuk menzahirkan impian, “Rumahku Syurgaku”. Semoga dengan sikap yang sentiasa positif segala masalah akan usai juga akhirnya, ibarat sepanjang-panjang jalan berliku ada penghujungnya.

.